Powered By Blogger

Thursday, 23 December 2021

  a) Hubungkait kerjaya guru dan amalan kod etika profesionalisme di Malaysia

Kerjaya guru merupakan satu pekerjaan yang mulia dimana tugas dan tanggungjawab yang diberi adalah untuk membentuk murid-murid yang seimbang dari segi fizikal, emosi, rohani dan intelek selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Menurut Akta Pendidikan 1996, guru bermaksud seseorang yang mengajar murid di suatu institusi pendidikan atau menyediakan atau mengeluarkan bahan pelajaran atau memeriksa jawapan yang dikembalikan atau melalui pusat pendidikan jarak jauh, dan termasuklah guru besar atau pengetua. Selain itu, Tokoh H. Syamsul Bahri Tanrere (1993) menyatakan guru adalah salah satu faktor yang sangat penting dalam pendidikan dan pengajaran, kerana gurulah yang akan bertanggungjawab dalam membentuk peribadi seorang murid.

    Kerjaya sebagai seorang guru ini adalah merupakan satu kerjaya yang unik. Hal ini kerana, kerjaya sebagai seorang guru ini memainkan banyak peranan dalam berkhidmat menjadi seorang pendidik yang berjaya. Guru mampu memikul tanggungjawab yang berat dalam mendidik anak bangsa serta membentuk murid-murid mereka dari segi fizikal, emosi, rohani, intelek selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan. Bahkan dengan tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua rancangan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muda.




    Profesion keguruan juga cukup mencabar jika dilihat dari segi tanggungjawab guru terhadap agama, bangsa dan negara. Hal ini demikian kerana merekalah yang bertanggungjawab memastikan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru dicapai dengan jayanya. Pendidik memainkan peranan yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Guru juga membuktikan bahawa mereka mampu mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Profesion keguruan sememangnya mempunyai etika keguruannya tersendiri. Dalam bidang pendidikan, etika keguruan digubal pada tahun 1970-an yang membawa maksud satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap pelajar. Menurut tokoh Gladding (2000), ia merupakan satu set standard atau piawaian dan prinsip yang dibentuk oleh sesebuah organisasi bertujuan memberi panduan kepada ahli mengenai tingkah laku berinteraksi antara ahli dengan orang luar organisasi. Tokoh Ahmad Sarji (1992) juga menyatakan ia sebagai semua garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai serta tingkah laku profesional. Etika kerja guru ini perlulah dijadikan rujukan oleh bakal-bakal guru yang baru menceburi bidang perguruan dan mereka yang sudah lama bertapak dalam bidang perguruan ini. Dengan adanya etika kerja guru ini, ia dapat mendorong para guru untuk sentiasa menjaga tingkah laku mereka dan menampilkan diri sebagai seorang guru yang bertanggungjawab.

    Terdapat empat komponen kod etika profesionalisme yang menjadi garis panduan untuk bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan kerjaya seseorang guru. Etika profesionalisme guru yang pertama adalah tanggungjawab guru terhadap murid. Guru mestilah mempunyai tingkah laku yang merupakan tanggungjawab terhadap murid. Tanggungjawab ini termasuk lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid daripada hal peribadi, bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama. Guru juga hendaklah menunjukkan cara pemakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberi contoh yang terbaik kepada murid-murid. Guru juga perlu membimbing atau mengajar seseorang murid tanpa mengenakan sebarang bayaran, memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, seminar atau mesyuarat supaya proses pengajaran seseorang guru berpotensi mencapai kualiti yang tinggi.




    Seterusnya ialah tanggungjawab guru terhadap ibu bapa. Guru hendaklah mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa murid. Oleh itu, seseorang guru perlulah menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Guru juga harus berusaha untuk mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dengan rumah tangga dan menganggap semua maklumat yang diberi oleh ibu bapa tentang keadaan rumah tangga atau tentang anak mereka adalah sulit dan guru tidak boleh membocorkannya kepada sesiapa kecuali mereka yang berhak untuk mengetahuinya sahaja. Guru juga perlu bersifat terbuka untuk memberi maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka dan menggunakan maklumat itu secara teliti dan bijaksana. Guru juga hendaklah mengelakkan diri daripada bersifat pilih kasih dengan menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa murid-murid serta mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid terhadap ibu bapa atau penjaga mereka. Justeru itu, semua guru disarankan untuk bersifat rasional dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap murid-murid mahupun ibu bapa murid supaya dapat mewujudkan hubungan yang lebih positif disamping dapat membawa ke arah kebaikan untuk semua pihak.




    Di samping itu, guru juga mempunyai tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan. Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seseorang guru itu ialah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan murid atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru di hadapan murid. Guru juga tidak boleh melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapannya sebagai guru dan berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan rajin dan bersungguh-sungguh serta sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial. Guru juga perlu sentiasa mengawasi diri supaya tidak melakukan perkara yang mencemarkan nama baik profesion keguruan dan perlu menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru secara aktif dan progresif.




    Tanggungjawab terakhir ialah tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara. Guru hendaklah bertingkah laku dan menjalankan tanggungjawabnya dengan mengambil kira keperluan masyarakat dan negara. Maka dengan itu guru hendaklah mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat, negara atau bertentangan dengan Rukun Negara. Guru juga perlu memupuk dalam diri murid dengan sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang yang lebih tua, menghormati perbezaan budaya, keturunan dan agama. Seterusnya, guru hendaklah menghormati masyarakat di tempat berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai warganegara dan mengambil bahagian dalam kegiatan kemasyarakatan di samping menggalakan kerjasama dan persefahaman antara guru dengan ibu bapa, instiusi pendidikan dengan masyarakat. Guru juga boleh memberi sumbangan untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan, kecendekiawanan masyarakat dan berpegang teguh kepada tingkah laku sopan yang diterima oleh masyarakat serta menjalani kehidupan seharian dengan baik.




    Etika yang ditunjukkan oleh guru melalui kod etika perguruan dan prinsip-prinsip etika ini, sedikit sebanyak menjadikan para guru sebagai role–model kepada pelajar. Senario ini mempengaruhi etika pelajar dan membantu pembentukan modal insan pada masa akan datang. Dengan ini terbuktilah kerjaya guru dan kod etika professional keguruan sangat penting untuk diketahui dan difahami oleh semua orang dengan lebih mendalam. Tingkah laku guru yang berdisiplin dan dan terikat dengan garis panduan Etika Perguruan dapat membantu memperkembangkan lagi potensi murid-murid ke arah satu pembentukan individu yang berjaya dan menggalakan murid-murid untuk lebih cenderung kepada melakukan perkara-perkara yang positif dan mengelakkan perkara-perkara yang negatif.

    Kesimpulannya, kerjaya guru merupakan satu profesion yang sangat mulia. Jasa dan sumbangan yang diberikan oleh warga pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan mengamalkan nilai-nilai yang baik tidak harus dipandang rendah oleh masyarakat. Pemilihan bidang ini sebagai pilihan terakhir untuk diceburi adalah satu tanggapan yang salah. Masyarakat harus sedar cabaran dan bebanan yang dihadapi oleh golongan guru sebelum mengambil jalan mudah dengan memandang rendah golongan ini. Profesion keguruan ini memerlukan seseorang individu itu untuk berhadapan dengan cabaran yang memerlukan tahap profesionalisme yang tinggi. Oleh itu, Kod Etika Profesionalsime Keguruan didokumenkan dan diwartakan untuk menjadi rujukan dan panduan kepada para guru untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah secara benar dan seterusnya mengangkat martabat profesion keguruan dan imej guru dalam kalangan masyarakat.




b) Pelaksanaan kod etika profesionalisme keguruan dan cabaran di Malaysia


Cabaran Dalam Kod Etika Profesionalisme Keguruan Malaysia

Sedasawarsa kini dunia digemparkan dengan munculnya Novel Coronavirus atau dikenali sebagai Covid-19 pada akhir tahun 2019 lalu. Perintah kawalan pergerakan telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada bulan Mac 2020 bagi mengekang penularan wabak yang berbahaya dan boleh menyebabkan kematian ini. Jadi disebabkan hal ini, warga Malaysia perlu berada di rumah sehingga tempoh kawalan pergerakan tamat, jadi semua aktiviti, kerja dan juga pembelajaran ditangguhkan secara bersemuka dan perlu dijalankan secara atas talian. Jadi apa yang ingin diperkatakan di sini ialah, pembelajaran secara atas talian atau secara dunia maya ini telah memberi cabaran kepada para guru dalam menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran. Ianya membuatkan tugas guru semakin mencabar apabila guru perlu mahir dalam penggunaan teknologi komputer dan juga mengawal aplikasi pendidikan seperti Google Meet dan juga Webex. Ianya mungkin tidak janggal kepada guru-guru yang masih muda dan masih celik IT, tetapi ianya adalah sebuah cabaran kepada guru-guru lama yang kurang mahir dalam teknologi canggih seiring dengan peredaran zaman ini.

Cabaran yang kedua dalam pelaksanaan kod etika profesionalisme keguruan di Malaysia ialah apabila guru diberikan subjek yang lari daripada bidang profesionalisme kelayakannya yang sebenar. Tamsilnya, guru tersebut mendapat Ijazah Pendidikan Moral tetapi apabila di sekolah beliau diberikan tanggungjawab untuk mengajar subjek kemahiran hidup. Jadi cabaran ini akan menyebabkan kualiti pengajaran menurun dan akan menyebabkan tahap penyampaian ilmu menjadi kurang efisien disebabkan tidak mempunyai kemahiran dan ilmu dalam subjek yang diberikan tanpa mengikut profesionalisme sebenar. Pada realiti sebenar tidak dapat dinafikan bahawa, jika guru kurang mahir murid-murid juga akan kurang memahami dengan jelas apa yang disampaikan, jadi ini juga akan menyebabkan kemerosotan kepada murid-murid. Jadi dalam isu ini akan ada ramai pihak yang akan menunding jari kepada guru di atas kesalahan, kealpaan dan ketidakprihatinan mereka sendiri dalam mendidik anak-anak.

Sebagai menggulung segala apa yang diperkatakan di atas, jelaslah bahawa kod etika keguruan ialah garis panduan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap produktiviti dan disiplin dalam perguruan dengan memberi penekanan dalam aspek yang berkaitan seperti peraturan dan peradaban, nilai serta tingkah laku profesion dalam perguruan. Jadi dapatlah ditegaskan di sini bahawa untuk menjadi seorang guru haruslah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal yang kuat untuk menempuhi liku-liku dalam profesionalisme perguruan di Malaysia.


c) Pelaksanaan peraturan dan undang-undang pendidikan dalam amalan pendidikan di Malaysia





d) Tujuan dan fungsi peraturan-peraturan pendidikan yang dilaksanakan di Malaysia






No comments:

Post a Comment